Membina kehidupan suami isteri memang banyak cabarannya. Banyak perkara yang suami isteri wajib jaga kalau nak rumah tangga kekal bahagia.

Jika tersilap langkah pasti boleh mencetuskan pelbagai masalah. Jadi persiapkan diri anda berdua dengan ilmu rumah tangga agar mahligai yang dibina kekal bahagia.

Untuk memastikan sesebuah hubungan berjalan dengan baik, 5 perkara ini boleh membantu anda

1. Bajai kasih sayang selalu

Ini adalah perkara utama yang perlu ada dalam rumah tangga. Tanpa kasih sayang mana mungkin rumah tangga anda berdua akan kekal bahagia. Perasaan kasih sayang ini haruslah sentiasa dipupuk dan dibajai setiap masa agar anda berdua tahu yang kalian saling memerlukan antara satu sama lain.

Kasih sayang juga haruslah sentiasa mekar agar kehidupan rumah tangga yang anda berdua lalui lancar dan menggembirakan. Banyak cara yang boleh anda lakukan untuk menunjukkan kasih sayang anda kepada pasangan misalnya melalui percakapan, sentuhan, pelukan dan ciuman.   

2. Perbetulkan komunikasi

Tanpa komunikasi yang baik rumah tangga akan porak-peranda. Komunikasi yang baik dalam hubungan suami isteri penting kerana ia mampu menjadi penyelesaian terhadap semua masalah yang melanda.

Sebagai pasangan yang bahagia, anda berdua haruslah tahu bagaimana cara untuk mengungkapkan perasaan, mengatasi konflik dan meluahkan rasa tidak sependapat dengan cara yang baik serta berhemah.

Apabila berlaku sesuatu masalah, jangan sesekali memendam rasa. Cari waktu yang terbaik dan sesuai untuk anda berbicara dengan pasangan dari hati ke hati. Luahkan masalah atau perasaan yang anda alami itu kepada pasangan agar dia tahu apa yang anda lalui.

3. Miliki sifat sabar

Dalam rumah tangga penting untuk anda berdua miliki sifat sabar. Memang tak dinafikan perbezaan pendapat dan pergaduhan kecil dalam rumah tangga pasti akan terjadi apatah lagi anda berdua berbeza latar belakang, budaya, pendidikan dan sebagainya.    

Namun apabila sudah berumah tangga, masing-masing haruslah memupuk sifat sabar agar segala masalah yang anda berdua hadapi dapat ditangani dengan penyelesaian yang bijak dan bukannya membuat keputusan terburu-buru. Apabila masing-masing miliki sifat sabar, anda berdua akan temui titik penyelesaian yang membolehkan anda berdua lebih berkompromi dan tenang.

4. Perlu saling mempercayai

Hubungan yang baik terjadi apabila suami isteri saling mempercayai antara satu sama lain. Jika sifat ini tiada dalam kamus hidup suami isteri alamatnya punahlah rumah tangga. Apabila adanya sifat saling mempercayai pasti tidak akan timbul sebarang perkara yang boleh mencurigakan pasangan.

Apabila pasangan sudah memberikan kepercayaan, hargailah kepercayaannya itu. Jangan sesekali memperlekehkan atau mengambil kesempatan atas kepercayaan yang telah pasangan anda berikan kerana ia boleh membuatkan pasangan rasa tidak tenang dan timbul rasa cemburu yang keterlaluan sehingga menyebabkan pergaduhan besar berlaku.  

5. Hendaklah saling menghargai

Untuk mengekalkan hubungan dalam rumah tangga, suami isteri haruslah saling menghargai diri masing-masing. Dalam hubungan tidak boleh ada yang lebih mendominasi kerana ia akan membuatkan pasangan rasa tidak bahagia. Walaupun suami merupakan ketua keluarga, suami tidak boleh memperlekehkan peranan isteri dalam membuatkan impian suami tercapai untuk memiliki rumah tangga bahagia.

Berikan penghargaan buat pasangan anda dengan mencintainya sepenuh jiwa, malah belajar untuk menerima segala kebaikan dan keburukan yang dimilikinya. Dengan cara ini pasangan akan lebih menghormati anda sekali gus membuatkan rumah tangga terus kekal bahagia.