Dekorasi pelamin yang indah mampu mencipta magis yang tersendiri buat pasangan mempelai. Olahan pelamin yang penuh dengan sentuhan kreatif mencetuskan aura penuh bahagia. Perhiasan yang diatur sempurna di segenap ruang menyemarakkan lagi pentas persandingan raja dan ratu sehari.

Pesona singgahsana ilham cipta REKA TEEMOR sememangnya hadir dalam gaya yang tersendiri. Mewah dengan susunan berseni bunga-bunga rona pastel setiap sentuhannya sentiasa menjadi igauan tetamu yang hadir ke majlis resepsi.

KEKABU WEDDING menampilkan dekorasi pelamin bercirikan flora campuran nuansa rona cerah dan pastel. Berlatar backdrop rona coklat krim, singgahsana berkonsepkan minimalis ini sangat sesuai buat pasangan mempelai yang inginkan kesederhanaan.

Berpaksikan idea pelamin moden AFEER_KUALA LUMPUR melontarkan idea melalui rekaan singgahsana yang serba ringkas. Tidak terlalu sarat dengan elemen hiasan membantu menjadikan keseluruhan pelamin tampak harmoni.  

CHENTA CONCEPTS mencari kelainan dalam penggayaan dekorasi pelamin dengan hanya bermain dengan rona salju. Meski pun begitu jelas terpancar rekaan pelamin yang digarap indah dengan perincian teliti.