Kasih dan suci pasangan mempelai seakan terungkap melalui pantulan dekorasi pelaminan yang dipersembahan di majlis resepsi. Seakan mewakili rentak jiwa dan raga, pasangan mempelai melangkah yakin menuju puncak bahagia.

Singgahsana yang diilhamkan dengan penuh rasa kasih dan sayang antara dua insan yang kini bersatu dalam ikatan suci menyuntik bahagia yang diimpikan oleh setiap pasangan uda dan dara.

Kuning dan putih menguasai singgahsana air tangan RIASMAZMIERA. Tidak terlalu sarat dengan hiasan bunga seperti kebiasaannya namun tetap tampak elegan dan mewah. Tidak dapat dinafikan bantuan pencahayaan juga menambah keserian pelamin cinta anganan uda dan dara.

Mainan rona-rona pastel dan benderang menjadikan singgahsana anyaman EYRA FADZ BRIDAL tidak kurang hebatnya. Rimbunan bunga-bunga pelbagai rona menokok seri pentas singgahsana meraikan pasangan maharaja dan maharani.

Hujan bunga. Mungkin itulah mesej dekorasi yang ingin ditampilkan oleh INTAN BRIDAL HOUSE. Berbumbungkan ‘langit bunga’ ternyata menyuntik daya tarikan yang luar biasa. Pasti mampu membuaikan perasaan mempelai.

Injeksi rona-rona suci seperti putih dan krim menjadikan singgahsana kelihatan mewah. Simbahan cahaya pada segenap ruang pelamin nyata menghidupkan suasana menjadikan pelamin ilham WEDDING GALORE SDN BHD kelihatan sempurna.