Menata majlis perkahwinan agar tampak indah penuh gilang-gemilang bukanlah tugas yang mudah. Bersandarkan pengalaman, kepakaran serta khidmat tenaga kerja yang mencukupi menjadi antara aset utama bagi perancang majlis perkahwinan dalam menjayakan walimatulurus seperti mana yang diharapkan.

Hakikat ini  tidak boleh dinafikan, pun begitu dalam mencari rahsia di manakah letaknya  nadi keindahan dekorasi sesebuah majlis perkahwinan. Tidak dapat dinafikan keindahan ruangan majlis kunci utamanya terletak pada bunga yang digubah oleh sang pereka. Nyata begitu besar peranan dan pengaruh bunga dalam seni dekorasi pelamin.

* Gubahan bunga yang sarat akan menaikan lagi seri sesebuah pelamin  sekali gus menampakkan gaya yang lebih mewah. Secara tidak langsung pelamin akan kelihatan lebih indah.  Pun begitu rekaan dekorasi pelamin masih boleh tampak minimalis walaupun menggunakan kuantiti bunga yang banyak dengan syarat tidak dibebankan dengan kehadiran prop-prop yang lainnya.

* Sesuatu konsep dekorasi pelamin memerlukan jenis dan warna-warna bunga tertentu untuk menyerlahkan lagi tema sesuatu pelamin. Kebanyakan bunga pilihan akan disesuaikan mengikut tema sesuatu konsep pelamin itu.  Untuk tema tradisional umpamanya pemilihan bunga-bunga tempatan seperti orkid lebih sesuai digunakan.

* Gaya gubahan bunga kadangkala mempunyai trend tertentu mengikut musim. Kebiasaannya trend tersebut dipengaruhi daripada gaya perkahwinan ala Barat (English Wedding), perkahwinan selebriti atau kadangkala anda boleh bereksperimentasi dengan gaya gubahan bunga kami hasil daripada pemerhatian contohnya di majlis resepsi yang dihadiri.

* Apabila menggunakan bunga segar untuk dekorasi pelamin, sesuatu rekaan  pelamin itu akan nampak ‘hidup’ dan tetamu yang hadir akan dapat menghidu haruman bunga segar yang cukup sinonim dengan keindahan. Namun kelemahan bunga hidup  ialah ia tidak dapat bertahan lama (bagi sesetengah bunga yang diimport) untuk sesuatu majlis. Ia di pengaruhi oleh faktor cuaca negara kita yang agak panas dan kadangkala sesetengah bunga segar sukar untuk diperolehi kerana sesetengah bunga mempunyai musim-musim tertentu untuk berada di pasaran.

Credit picture: Weddings By Emma