Segala cinta yang wujud buat pasangan merpati dua sejoli disatukan dalam membina sebuah mahligai idaman. Simbolik sebuah perhubungan yang suci diperhalusi melalui lantunan sebuah singgahsana yang megah dengan seni rekaan pelamin yang sarat dengan idea dan kreativiti bernas.   

Pelamin inspirasi glam banyak bermain dengan elemen-elemen kemilau dan gemerlapan. Rekaan pelamin berpaksikan glam menjanjikan persandingan yang penuh dengan kemeriahan. Bagi mendapatkan tip dan idea untuk mendekorasi pelamin bertemakan glam, ikuti panduan yang dikongsikan oleh Nazliah Ibrahim, pemilik dan pengasas Butik Andaman Muslimah V2.

Berpengalaman selama 15 tahun sebagai perancang perkahwinan dan mendekorasi majlis perkahwinan, Butik Andaman Muslimah V2 yang terletak di Taman Cemara, Sungai Petani, Kedah Darul Aman mahir merealisasikan pelbagai jenis konsep dekorasi pelamin. Selain menyediakan khidmat perancang perkahwinan, Butik Andaman Muslimah V2 juga turut menyediakan khidmat lain antaranya sewaan busana, gubahan hantaran dan khidmat jurugambar.

Ikuti perkongsian tip daripada Nazliah tentang dekorasi pelamin bertemakan glam.    

Apakah ciri-ciri utama yang perlu ada pada pelamin glam?

Dekorasi sesebuah pelamin berkonsepkan glam biasanya menggunakan material atau elemen hiasan yang moden. Penggunaan material berkonsepkan tradisional harus dielakkan sama sekali bagi mengelakkan konsep pelamin glam ‘dilanggar.’ Ketika mendekorasi pelamin berkonsep glam, susunan dekorasi pelamin tidak boleh terlalu padat. Biar nampak ringkas tetapi imej elegan dapat ditonjolkan secara sempurna. Di samping itu penggunaan cahaya lampu yang mencukupi juga amat penting agar aura elemen glam itu dapat diterjemahkan seperti yang sepatutnya.

Apakah warna-warna yang sering diterapkan pada pelamin inspirasi glam?

Ada tiga warna utama sebagai asas untuk deko pelamin glam iaitu putih, kelabu, hitam atau navy blue sebagai ‘backdrop’ pelamin. Warna putih paling selamat menjadikan deko pelamin tampak elegan. Deko warna putih juga boleh menyerlahkan pengantin semasa berada di pelamin. Warna kelabu boleh memberi impak eksklusif. Walau bagaimanapun elakkan sama sekali untuk menggabungkan terlalu banyak warna dalam satu-satu masa. Hal ini kerana ia boleh menghilangkan imej glam pada dekorasi pelamin. Warna hitam atau navy blue pula mampu mengangkat konsep glam agar sesebuah pelamin itu kelihatan memukau. Namun begitu deko dengan warna hitam ini lebih impaknya jika dibuat di dalam dewan dengan pencahayaan yang mencukupi.

Bagaimana pula dengan hiasan yang menjadi elemen utama untuk dekorasi pelamin berkonsep glam?

Nadi untuk seni dekorasi pelamin terletak pada elemen hiasan yang dipersembahkan di pentas pelamin. Antara elemen hiasan utama untuk dekorasi pelamin berkonsepkan glam ialah mainan hiasan berkilat atau glitters. Antara medium yang biasa digunakan ialah manik-manik kristal. Di samping itu penggunaan pasu moden serta konsep pasu kaca juga antara daya tarikan pelamin berkonsepkan glam. Selain itu juga penggunaan stand light dan table light juga turut memberi impak ‘kejayaan’ sesebuah rekaan pelamin bercirikan glam. Tidak dapat dinafikan penggunaan bunga sememangnya tidak dapat lari daripada rekaan sesebuah pelamin. Namun begitu pilihan bunga harus sesuai. Boleh gunakan bunga segar atau pun bunga artifisial. Penggunaan perabot yang tepat juga usah dilupa. Pilih perabot yang sesuai dengan konsep pelamin glam yang kebanyakannya daripada warna putih dan juga kumpulan rona pastel.

Apakah keunikan yang ada pada pelamin berkonsep glam?

Kunci keunikan pelamin glam adalah olahan deko dan material yg digunakan. Susun atur material yang betul juga sangat memberi impak. Tidak semestinya menggunakan barangan dekorasi yang mahal. Daya kreativiti juga boleh nampakkan glam sesebuah dekorasi pelamin.

Suasana dan ruang yang dipilih juga memainkan peranan untuk menaikkan seri sesebuah pelamin. Kebiasaanya ruang seperti dewan tertutup atau ballroom boleh memberi impak maksima kepada konsep glam. Pilihan warna yang sesuai amat penting. Jangan gunakan warna terlalu terang dan kontra. Warna pastel lebih digalakkan bagi menyerlahkan keserian pelamin berkonsep glam.

kebiasaannya pelamin berkonsep glam banyak menyuntik elemen glitters dalam rekaan pelamin. apakah peranan elemen glitters dalam dekorasi pelamin berkonsep glam?

Elemen glitters dalam rekaan pelamin digunakan untuk memberi impak mewah dan outstanding. Walau bagaimanapun faktor pencahayaan yang cukup sangat penting untuk menaikkan elemen glitters tersebut. Elemen glitters diperlukan untuk memberi aura dan suasana meriah serta  glamor. Pendek kata elemen glitters menampakkan pelamin elegan dan eksklusif.

Ekstra idea dekorasi pelamin glam

*Lentera kerangka kayu berkaca ini tampak menarik jika diletakkan di sudut kanan dan kiri pelamin.

*Bongkah nama kayu dengan percikkan imej glitters menjadikan dekorasi pelamin tampak lebih berseri.

*Biasan kristal jernih di dalam balang kaca lebih menyerlah dengan bantuan pencahayaan.

*Injeksi lampu mentol dengan percikan glitters pada mentol menjadikan pencahayaan di pentas pelamin lebih dramatik.

*Fabrik sequin rona emas jika dijadikan elemen backdrop di belakang pelamin mampu menyuntik aura elegan pada pelamin.

*Penambahan lilin yang disusun di dalam balang kaca pelbagai saiz yang dihias dengan riben glitters antara salah satu idea untuk memperindahkan pelamin berkonsep glam.