Pelamin antara ruang dekorasi yang amat penting dalam sesebuah majlis resepsi. Ia merupakan titik tumpu ketika pasangan mempelai meraikan hari bahagia. Nescaya itu pemilihan tema dengan dekorasi yang tepat amat penting bagi merakamkan kenangan indah sebagai tanda ingatan sepanjang hayat.

Keserasian antara pelamin dan busana pengantin akan menyerlahkan suasana perkahwinan yang gemilang. Pilihan tema pelamin yang tepat akan memberikan kesan eksklusif ke atas keseluruhan  dekorasi sesebuah majlis perkahwinan. Pelamin yang bercirikan cinta dan ritma romantis kebiasaannya mempertaruhkan rona-rona terang dan pastel yang merangkumi rona seperti putih, merah dan merah jambu.

RS Event KL berkongsi idea dan tip untuk merealisasikan pelamin impian bertemakan cinta dan kasih sayang. Dipelopori oleh Rozalinda Osman, RS Event KL sudah menimba pengalaman dalam seni rekaan dekorasi pelamin selama 14 tahun.  

Dahulunya dikenali sebagai Roza Décor pada mulanya focus utama lebih kepada hiasan dalaman. Kini Roza Décor berkembang dengan RS Event KL bersesuaian dengan kepakarannya dalam bidang dekorasi. Ikuti perkongsian idea dan tip yang dikongsi oleh pengasas RS Event KL.  

CIRI-CIRI YANG PERLU ADA PADA PELAMIN BERILHAMKAN CINTA

Dekorasi bertemakan cinta mengenengahkan aura kehangatan cinta dan juga rentak irama romantis. Bunga mawar mewah seakan sinonim dengan cinta. Oleh itu penggunaan bunga mawar disuntik dalam seni menghias dekorasi pelamin bagi melontarkan rasa cinta pasangan mempelai. Bagi memberi penegasan pada tema cinta yang menjadi pilihan pasangan mempelai maka serlipan haruman wangi-wangian yang hadir pada lilin misalnya menambahkan lagi aura cinta selain fungsinya memberikan impak cahaya yang dramatik di pentas singgahsana.

PILIHAN BUNGA SEGAR ATAU BUNGA ARTIFISIAL

Antara bunga segar dan juga artifisial kedua-duanya punya kelebihan yang tersendiri. Bunga-bunga segar bukan sahaja cantik dipandang tetapi aroma semulajadinya bisa menghidupkan lama suasana nan romantik. Elemen bunga mawar merah itu sendiri sudah cukup menggambarkan semarak cinta di pelaminan. Manakala pilihan bunga artifisial berkualiti tinggi yang sifatnya hampir sama dengan bunga segar juga mampu menyerlahkan keindahan rekaan pelamin.  

WARNA-WARNA YANG SESUAI DENGAN PELAMIN BERTEMAKAN CINTA

Ada tiga warna utama sebagai asas untuk deko pelamin glam iaitu putih, kelabu, hitam atau navy blue sebagai ‘backdrop’ pelamin. Warna putih paling selamat menjadikan deko pelamin tampak elegan. Deko warna putih juga boleh menyerlahkan pengantin semasa berada di pelamin. Warna kelabu boleh memberi impak eksklusif. Walau bagaimanapun elakkan sama sekali untuk menggabungkan terlalu banyak warna dalam satu-satu masa. Hal ini kerana ia boleh menghilangkan imej glam pada dekorasi pelamin. Warna hitam atau navy blue pula mampu mengangkat konsep glam agar sesebuah pelamin itu kelihatan memukau. Namun begitu deko dengan warna hitam ini lebih impaknya jika dibuat di dalam dewan dengan pencahayaan yang mencukupi.

Injeksi rona merah dan putih mahupun merah jambu dan putih punya fungsi dan ceritera yang tersendiri. Rona putih sememangnya rona yang wajib ada dalam seni dekorasi hiasan pelamin. Gabungan rona putih dan merah menyaksikan lontaran cinta yang penuh dengan keghairahan. Manakala caturan rona putih dan merah jambu pula melambangkan kelembutan cinta. Sebenarnya rona putih itu sendiri sudah mencerminkan kesucian dalam mencorak rasa cinta. Boleh juga selitkan rona emas tetapi hanya sedikit kerana rona emas melambangkan kemewahan cinta.

KEUNIKAN PELAMIN BERPAKSIKAN TEMA CINTA

Warna dan tema pilihan tema cinta itu sendiri melambangkan keunggulan cinta mempelai ke jinjang pelamin. Lebih unik jika memilih tema simbolik cinta seperti City Of Paris, Winter Sonata, Romeo & Juliet dan Puteri Gunung Ledang.

ELEMEN YANG PERLU DIELAKKAN

Elakkan penggunaan warna-warna yang kedam dan malap kerana ia jelas jauh menyimpang daripada tema cinta yang bersifat romantis dan mewah dengan rasa cinta dan kasih sayang. Rona-rona kedam dan malap mencerminkan kesedihan dan sudah tentunya ia tidak wajar dipersembahkan di pentas pelaminan bagi meraikan hari bahagia pasangan mempelai.

LOKASI YANG SESUAI UNTUK PELAMIN BERILHAMKAN CINTA?

Sama ada lokasi indoor mahupun outdoor kedua-duanya sesuai untuk merealisasikan pelamin yang berpaksikan cinta. Jika lokasi pilihan di luar lapangan atau outdoor maka ia mungkin boleh mengambil inspirasi garden wedding. Namun jika lokasi indoor yang menjadi pilihan maka majlis resepsi akan tampil lebih eksklusif kerana adanya walldrape dan bantuan pencahayaan.

TIP PENTING:

* Mencipta pelamin yang unik dan terkini memerlukan kreativiti dan imaginasi yang tinggi. Tidak semua orang mampu merealisasikan impian anda menjadi karya agong yang bakal dikenang sepanjang hayat. Justeru itu berkolaborasilah dengan perancang perkahwinan yang berpengalaman dan mempunyai portfolio  yang baik agar persediaan majlis resepsi berjalan dengan lancar. Hasilnya anda lebih tenang untuk melangkah ke gerbang perkahwinan.

* Apa jua pilihan pelamin yang anda pilih ianya bergantung pada bajet anda. Buatlah kira-kira dan senarai semak  agar anda dapat merasai nikmat pelamin yang indah seperti yang diinginkan dengan harga mampu milik.

CADANGAN IDEA DEKORASI PELAMIN BERTEMAKAN CINTA

* Juntaian bunga-bunga carnation di atas pentas pelamin memberikan idea sentuhan romantis.

* Bunga ros merah yang digubah indah di atas lilin kaki tinggi mampu mencuri pandangan tetamu.

* Lampu minyak tanah rona merah berfungsi menokok seri pentas pelamin.

* Lilin yang dihias bersama bunga mawar jelas menyuntik sisi feminin.

* Lampu chandelier tampak lebih menyerlah dengan suntikan hiasan bunga mawar yang dikat dengan riben merah.

* Percikan juntaian kristal yang diselang-selikan dengan buang mawar antara idea yang boleh direalisasikan.