“Menghormati dan mentaati kedua ibu bapa merupakan tanggungjawab setiap anak tanpa mengira lelaki ataupun wanita”

Malah, Islam sendiri telah menegaskan bahawa anak yang menderhaka, tidak akan mencium bau syurga. Berkeluarga tidak bermakna anda boleh ‘lepas tangan’ untuk melakukan tanggungjawab kepada ibu bapa sendiri tetapi turut bertanggungjawab terhadap ibu bapa mertua. Harus diingat, tanggungjawab ini tidak terkecuali bagi mereka yang bergelar anak perempuan atau wanita biarpun mereka telah bersuami bergantung kepada kemampuan masing-masing. Tanggungjawab bukan sekadar berbentuk wang, tetapi kasih sayang secukupnya dan perhatian yang sepatutnya. Jangan pula menganggap tidak ada masa atau sudah punya keluarga sendiri yang harus diutamakan. Wahai mereka yang telah berumahtangga dan bakal berumahtangga, ketahuilah peranan dan tanggungjawab yang wajib dan harus anda dan pasangan lakukan seumur hidup.
 
Bagaimana mahu menjaga kebajikan kedua-dua keluarga?
  1. Hubungan anak dengan ibu bapa tidak akan putus hingga akhir hayat. Dalam keadaan apa jua situasi, seorang anak wajib mentaati ibu bapa selagi apa yang diminta tidak melanggar perintah Allah.
  2. Ketahui juga perbezaan yang jelas antara menghormati dengan mentaati. Menghormati ialah mempunyai rasa hormat
  3. terhadap mereka biar dalam keadaan apa sekali pun, manakala mentaati pula adalah bergantung apa yang disuruh oleh kedua ibu bapa. Ia hanya kepada perkara yang baik dan tidak menyalahi batas-batas agama. Jika apa yang disuruh itu bertentangan dengan hukum agama, seorang anak tidak perlu mentaati dan melakukan apa yang disuruh.
  4. Anak-anak perlu membuat pertimbangan dan penilaian terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu. Sebaikbaiknya jangan sampai apa yang dilakukan itu mendatangkan malu kepada ibu bapa sendiri ataupun ibu bapa mertua, tidak kiralah dari segi percakapan, perbuatan atau tindak tanduk kita seharian.
  5. Paling utama, menjadi kewajipan bagi seorang anak biarpun sudah berumah tangga agar mendoakan kedua ibu bapanya. Salah satu daripada empat perkara besar yang diterima pahalanya oleh Allah S.W.T selepas kematian ialah doa anak yang soleh.
Tip Hati Bahagia
  1. Keutamaan perlu diberikan oleh seorang wanita antara suami dan keduadua ibu bapa. Walaupun tidak ada dalil yang konkrit membuktikan bahawa syurga seseorang isteri itu terletak di bawah telapak kaki suami. Namun begitu, ketaatan seorang isteri terhadap suami merupakan satu tiket yang membolehkan seorang isteri masuk ke syurga. Apa sahaja yang perlu dilakukan oleh isteri biarpun untuk kebajikan ibu bapa sendiri atau ibu bapa mertua harus mendapat keizinan dan keredhaan suami.
  2. Dalam keadaan ini, isteri atau suami perlu memahami dan saling mengingati bahawa selain kewajipan mereka mentaati dan menghormati pasangan masingmasing, mereka juga wajib menghormati dan mentaati ibu bapa mereka sendiri.
  3. Walaupun sudah berumahtangga, anak perempuan masih wajib berbakti kepada kedua ibu bapa mereka. Sekiranya si ibu meninggal dunia, bukan sahaja anak perempuan itu harus memandikan mayat ibu mereka sendiri, tetapi wajib mengkhatamkan Quran dan mengerjakan haji sekiranya ibu mereka tidak sempat menunaikan perkara tersebut semasa hayat mereka.
  4. Si suami atau isteri jangan pentingkan diri sendiri pula. Didiklah anak menghormati orang tua. Biarpun sesibuk manapun, kalau boleh sekurang-kurangnya jika anda tidak ada masa kerana terlalu sibuk, bawalah anak-anak anda untuk pulang ke kampung di hari minggu sebagai pengubat rindu atuk dan nenek mereka selain mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga.
Ekstra Info
  • Islam telah menggariskan beberapa cara untuk menghormati ibu bapa. Antaranya:
  • Beradab sopan seperti berlemah-lembut, bergaul mesra dan menjaga perasaan mereka.
  • Mengenang pengorbanan mereka seperti ibu mengandung, melahirkan dan menyusukan. Bapa pula mendidik, mengasuh dan mencari rezeki.
  • Menziarahi mereka dan selalu bertanya khabar.
  • Memenuhi permintaan dan patuh dengan suruhan mereka yang tidak bertentangan dengan Islam.
  • Tidak membantah kata-kata mereka.
  • Tidak menyakiti perasaan mereka.
  • Memberi sumbangan kebendaan, terutama ketika mereka dalam keadaan susah.
  • Melayani mereka tanpa membiarkan mereka sedih dan kesunyian.
  • Merawati mereka ketika sakit.
  • Menjaga mereka ketika mereka tidak berdaya.
  • Sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.