Pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga sudah pastinya akan pening memikirkan tentang modal atau kos yang akan digunakan kelak. Bagi yang bermodal sederhana, mereka sudah tentu beringat serta merancang dengan terperinci dalam soal jemputan tetamu yang bakal hadir. Ini penting untuk mengelakkan sebarang kemungkinan semasa penyediaan hidangan dan sebagainya. Sebenarnya bajet perkahwinan boleh dikurangkan hampir 45% jika anda pandai berjimat. Berikut adalah beberapa tip yang boleh anda ikut, bagi menjimatkan kos belanja pada majlis perkahwinan nanti.

 
  1. Adakan majlis kenduri secara gotong-royong. Berbincang atau bermesyuarat khas di rumah dengan menjemput jiran, rakan dan saudaramara untuk merancang berkaitan majlis kenduri kahwin yang bakal diadakan nanti. Agar perbincangan tampak santai dan menghargai individu yang bakal member kerjasama, adakan sedikit jamuan ringan. Seterusnya lantik seorang pengerusi yang pandai bercakap bagi pihak anda. Jika anda merancang untuk menggunakan katering, lakukan ‘survey’ kos perkhidmatan yang berpatutan dengan bajet.
  2. Gunakan khidmat tukang masak di kalangan orang kampung. Tukang masak ini sudah berpengalaman dalam urusan kenduri kendara. Biasanya upah yang dikenakan sangat minimum namun masakannya sedap.
  3. Selain mencari tempat yang menyediakan perkhidmatan sewa peralatan pinggan mangkuk untuk majlis kenduri buatlah hidangan secara bufet agar tidak perlu menggunakan tenaga yang ramai.
  4. Gunakan ruang depan laman rumah anda sendiri untuk menjimatkan kos. Sekiranya anda tinggal di kampung, kawasan laman yang luas akan memudahkan susun atur majlis tersebut. Tetapi sekiranya anda tinggal di taman atau flat, anda perlu meminta kebenaran daripada pihak yang berkenaan untuk memohon kebenaran menggunakan jalan di hadapan kediaman anda sebagai tempat mendirikan kanopi atau khemah.
  5. Untuk majlis yang sederhana, anda tidak perlu menyewa terlalu banyak kanopi. Cukuplah antara empat ke enam khemah sahaja.
  6. Bagi pengantin perempuan pula, anda boleh mencari rakan yang pandai mengandam atau mencari Mak Andam yang mengenakan caj minimum.
  7. Untuk fotografi, anda boleh menggunakan teman atau ahli keluarga yang mahir menggunakan kamera. Tetapi tidak salah melabur sedikit untuk mendapat khidmat jurufoto profesional asalkan cajnya berpatutan.