Permasalahan simpanan wang untuk majlis kahwin sememangnya sentiasa menghantui bakal pengantin. Mungkin disebabkan kos hidup yang tinggi membuatkan banyak wang dibelanjakan untuk barang makanan, membayar sewa rumah dan pelbagai macam bil.

Perkara sebegini membuatkan anda dalam dilema untuk meneruskan atau menangguhkan tarikh majlis. Ini adalah keputusan yang berat untuk diputuskan.

Semakin menambahkan beban apabila pasangan meminta untuk mengadakan majlis di dewan.

Bukan murah tempahan dewan, tempahan katering juga sudah mencecah ribuan ringgit. Itu tidak termasuk lagi keperluan barang dan duit hantaran. Sejauh mana keinginan anda untuk meneruskan majlis kahwin itu sendiri?

Kami kongsikan panduan dan tip bagi bakal pasangan yang ingin berkahwin tidak lama lagi:

Sekiranya majlis diteruskan andai simpanan masih tidak mencukupi:

1. Berterus terang dengan pasangan dan berbincang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

2. Bertindak cepat dengan memberitahu ahli keluarga agar tidak berlaku permusuhan di akhir majlis.

3. Membeli barang hantaran sendiri dengan harga yang berpatutan dan menggubah hantaran dengan bantuan saudara-mara terdekat.

4. Memasak hidangan tetamu dengan bantuan gotong royong jiran tetangga sekampung. Ini dapat menjimatkan kos dan masalah tidak cukup makanan tidak menjadi perbualan.

5. Tiada masalahnya sekiranya anda tidak mahu mengadakan majlis persandingan.Tiada wang yang akan diperlukan untuk menyewa kerusi dan pelamin yang mencecah ribuan ringgit.

6. Pemberian bunga telur boleh digantikan dengan gubahan barang kitar semula hasil seni tanganmu.

Sekiranya majlis ditangguhkan andai simpanan masih tidak mencukupi:

1. Berjimat cermat dengan membuat simpanan di bank dan berjimat dalam berbelanja.

2. Memberitahu dengan segera ahli keluarga tahap kemampuan anda dengan harga hantaran yang ditetapkan.

3. Meneliti harga barang hantaran, katering, tempahan baju dan membezakan di banyak kedai. Pilihlah kedai yang boleh menjimatkan anda.

4. Bersedia untuk menempah katering yang tidak terlalu mahal dan mengikut kemampuan anda di masa akan datang. Pastikan selepas persandingan, anda mempunyai simpanan yang banyak untuk anda berdua memulakan kehidupan.

5. Menempah pelamin yang berharga murah atau mengikut pakej yang berpatutan sekiranya anda menginginkan majlis persandingan bersama pasangan.

6. Membeli gubahan bunga telur yang berharga murah dan tidak terlalu mahal.Perlu diingat bahawa majlis perkahwinan tidak perlu dilakukan dengan cara pembaziran. Sesungguhnya, majlis yang diadakan secara berlebih-lebihan sehingga melebihi kemampuan anda sendiri, dengan berhutang akan menyusahkan anda di kemudian harinya.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya.” (Riwayat Ahmad)