Saya baru sahaja berkahwin dengan pilihan hati. Masalahnya setiap kali dia ajak berhubungan, saya sering menolak kerana beranggapan ‘pecah dara’ itu sakit. Setakat ini suami masih boleh menerimanya tetapi saya tidak tahu masa akan datang.

Boleh doktor beri cadangan untuk mengatasi ketakutan saya dalam masalah ‘pecah dara’ ini?

Puan mesti membuang anggapan bahawa ‘pecah dara’ itu sakit. Kebanyakan wanita hanya merasa tidak selesa semasa peristiwa ‘pecah dara’ itu berlaku. Perasaan tidak selesa itu pun hanya sebentar sahaja, iaitu di awal kemasukan alat kelamin lelaki.

Ini kerana selaput dara yang terkoyak itu sebenarnya tidak mempunyai deria rasa yang betul, ia adalah selaput dara yang sangat nipis dan hanya menghasilkan titisan darah yang amat sedikit semasa kali pertama melakukan hubungan seksual.

Terdapat juga wanita yang langsung tidak merasai sebarang kesakitan atau ketidakselesaan ketika kali pertama bersama. Puan kemungkinan besar tergolong dalam golongan ini.

Ambillah sikap positif, dan jangan beranggapan negatif sebelum mencuba. Namun begitu, memang terdapat segelintir wanita yang mengalami kesakitan semasa ‘pecah dara’.

Mereka ini sama ada mengalami sejenis keadaan yang dipanggil ‘vaginismus’, ataupun sekiranya hubungan seksual tersebut berlaku secara paksa (seperti kes rogol dan sebagainya). Bagi mereka yang mempunyai masalah ‘vaginismus’, eloklah berjumpa dengan Pakar Sakit Puan untuk berbincang dengan lebih lanjut, cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut.

Oleh: Dr Nurhazinat Binti Mohamed Yunus, Consultant O&G, Pakar Kesuburan Tropicana Medical Centre