Mengenakan perhiasan atau aksesori di hari perkahwinan mampu menambah kecantikan dan aura seri ratu sehari.

Selain rantai dan gelang yang sering dipakai oleh pengantin wanita, anting-anting juga merupakan perhiasan yang perlu diberi perhatian. Sama seperti aksesori lain, memilih anting-anting yang sempurna perlu mengikut kesesuaian ratu sehari.

Anda harus memilih anting-anting mengikut bentuk wajah agar kelihatan seimbang dan sempurna.

Berikut ini adalah tip untuk memilih anting-anting berdasarkan bentuk wajah.

BENTUK WAJAH BULAT

Anting-anting yang panjang amat sesuai buat wanita yang memiliki bentuk wajah bulat. Anda boleh memilih anting-anting yang berbentuk oval atau bersegi. Elak dari memilih anting-anting  jenis bulat (loops earring) kerana anting-anting jenis ini hanya akan menambah kesan bulat buat wajah anda.

BENTUK WAJAH OVAL

Wanita yang memiliki bentuk wajah ini cukup sesuai untuk mengenakan apa jua jenis anting-anting. Anda boleh memakai antin-anting berbentuk spiral, bulat, bersegi dan lain-lain lagi yang anda gemari. Namun harus diingatkan, untuk kelihatan sempurna dan penampilan tampak seimbang, elakkan dari memilih anting-anting yang terlalu panjang.

BENTUK WAJAH HATI

Ciri-ciri bentuk wajah ini adalah lebar pada bahagian dahi, tulang pipi yang  tinggi dan dagu yang runcing. Dalam erti lain, bentuk wajah ini meruncing ke bawah. Pilihlah anting yang kontras dengan bentuk wajah anda seperti anting dengan bentuk seperti chandelier, tear drop atau segitiga yang meruncing ke atas. Anting-anting ini akan membuatkan dagu anda terkesan lebih lebar dan memberi ilusi dahi Anda yang lebih kecil. Anda juga boleh memakai anting-anting berbentuk bulat atau oval asalkan  tidak mengecil ke bawah. Anting-anting yang meruncing ke bawah adalah tidak sesuai untuk anda.

BENTUK WAJAH PERSEGI

Jika anda memiliki bentuk wajah bersegi, anda boleh memilih anting-anting yang berbentuk organic atau tidak bersegi. Anting-anting jenis ini boleh memberi ilusi kelembutan pada bentuk wajah anda. Anda boleh memilih anting-anting dengan bentuk apa saja seperti anting gantung namun hindari dari anting-anting yang bersegi.